BAYAN LEPAS, 7 Mac- Tiada kenaikan harga makanan secara melampau berlaku di bazar Ramadan seluruh negara, setakat ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Dr. Fuziah Salleh berkata ia turut termasuk di pasar awam, pasar basah, pasar raya dan kedai runcit.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan KPDN telah menerima 307 aduan melibatkan kegagalan peniaga mempamerkan tanda harga serta isu berkaitan alat timbang dan sukat.
Justeru, beliau menggesa pengguna yang berdepan isu kenaikan harga tidak munasabah untuk membuat aduan menerusi perkhidmatan Aduan Suri.
"Jadi, tujuan kita melancarkan Aduan Suri itu adalah supaya pengunjung boleh terus mengadu kepada KPDN. Sekiranya ada bazar-bazar yang harga itu tidak wajar, dengan aduan tersebut, menggunakan kod QR itu.
Boleh salurkan aduan kepada KPDN dan tindakan akan diambil dalam masa 24 jam. Kita akan semak aduan ini terlebih dahulu, sebelum kita turun berjumpa peniaga," kata Dr. Fuziah kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui selepas meninjau Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Peringkat Zon Utara 2025 di Bazar Ramadan Jalan Mahkamah, di sini.
Dalam majlis tersebut, peniaga yang menawarkan Menu Rahmah turut menerima insentif e-dompet bernilai RM100 serta kad petrol RM50.
Ia bertujuan menggalakkan lebih ramai peniaga menyertai inisiatif tersebut.