VIENTIANE, 8 Oktober - Malaysia yakin keanggotaan Timor Leste dalam ASEAN akan memberi nilai tambah kepada blok ekonomi 10 negara tersebut.
Namun, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata belum ada sebarang konsensus dicapai oleh negara anggota ASEAN mengenai keanggotaan penuh Timor Leste.
"Asean ini merupakan satu kumpulan negara yang membuat keputusan berasaskan kepada konsensus bersama, dan ini kadang-kadang menyulitkan proses," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media Malaysia selepas menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN, di sini.
Tambah Mohamad, Majlis Koordinasi ASEAN sedang mengadakan perbincangan untuk mempercepatkan proses tersebut dan membantu Timor Leste merealisasikan keanggotaannya dalam ASEAN.
Dalam perkembangan lain, Mohamad turut menyatakan harapan agar ASEAN dapat menjadi platform untuk menyelesaikan krisis Myanmar yang kini memberi kesan kepada negara-negara lain di rantau ini.
Isu yang dibangkitkan termasuk jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dadah, penipuan pekerjaan, dan judi dalam talian.
Katanya, Malaysia akan menggunakan mekanisme Troika sebagai platform penting dalam usaha mencari penyelesaian terhadap krisis Myanmar, selaras dengan konsensus lima perkara yang dipersetujui ASEAN.
Beliau juga menegaskan bahawa Malaysia terus mengingatkan Myanmar bahawa negara tersebut masih merupakan anggota ASEAN dan tertakluk kepada peruntukan yang digariskan di bawah Piagam ASEAN.