
PUTRAJAYA, 13 November – Malaysia yakin hubungan dua hala dengan Indonesia akan terus kekal utuh dan berada pada landasan yang baik, meskipun negara jiran itu berdepan perkembangan serta dinamika politik semasa.
- Menteri Fahmi menegaskan perubahan politik Indonesia tidak seharusnya menjejaskan hubungan erat antara kedua negara.
- Keyakinan dicapai hasil hubungan diplomatik yang baik serta beberapa siri pertemuan dan lawatan rasmi di peringkat tertinggi.
- Fahmi baru pulang dari Jakarta manakala Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengadakan lawatan rasmi.
- Kenyataan itu disampaikan pada sidang media mingguan Kementerian Komunikasi di Putrajaya.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perubahan landskap politik di Indonesia tidak seharusnya menjejaskan hubungan erat yang sekian lama terjalin antara kedua-dua negara.
Menurut beliau, keyakinan itu turut didorong hubungan diplomatik yang baik, termasuk menerusi beberapa siri pertemuan dan lawatan rasmi di peringkat tertinggi antara kedua-dua negara.
“Saya baru pulang dari Jakarta beberapa minggu lalu. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga telah mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia dan mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia, antara lain.
“Kita percaya hubungan baik antara kedua-dua negara akan terus utuh dan kekal tanpa mengira sebarang perkembangan atau dinamika politik yang berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.