fb fb fb fb fb

Malaysia usaha dapatkan pembebasan segera sembilan rakyat ditahan Israel

Foto arkib/RTM

PUTRAJAYA, 9 Oktober – Kerajaan Malaysia sedang giat berusaha mendapatkan pembebasan segera dan tanpa syarat sembilan warganegara Malaysia yang kini ditahan secara haram oleh rejim Israel sejak 8 Oktober lalu.

Kesemua mereka merupakan peserta misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) yang ditahan ketika menyertai misi kemanusiaan ke wilayah Gaza.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra), usaha pembebasan sedang dijalankan dengan kerjasama rapat negara-negara sahabat, khususnya Republik Türkiye, selain melalui Kedutaan Malaysia di Amman dan Ankara.

"Kerajaan turut menggerakkan pasukan peguam antarabangsa bagi memastikan akses konsular dapat diberikan kepada rakyat Malaysia yang ditahan serta memastikan proses penghantaran pulang mereka ke tanah air dapat dilakukan dengan segera dan selamat," menurut kenyataan itu.

Kementerian memaklumkan kesemua sembilan rakyat Malaysia dilaporkan berada dalam keadaan sihat, dan menegaskan keselamatan serta kebajikan mereka kekal menjadi keutamaan tertinggi Kerajaan Malaysia.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN