fb fb fb fb fb

Malaysia-Turki bakal jalin kerjasama terokai bidang penyelidikan dan inovasi

KOTA KINABALU, 22 Februari - Malaysia dan Turki akan menjalinkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan inovasi.

Ia melibatkan Kerajaan Negeri Sabah, Lembaga Pelancongan Sabah dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata jalinan kerjasama itu akan memfokuskan kepada penglibatan terhadap sains marin, bio-prospek marin, perikanan, akuakultur dan pelancongan eko-marin.

"UMS sudah menandatangani Memorandum Persefahaman dan Surat Hasrat (LoI) bersama dua univerisiti di Turki bagi pertukaran pelajar dan penyelidik.

“Kita akan mengadakan pertukaran pelajar dan tenaga pengajar antara UMS dan Universiti Manisa Celal Bayar (MCBU) dan Universiti Karabuk. Ia membolehkan penyelidikan bersama dilakukan dalam bidang sains marin,” katanya sempena lawatan rasmi Duta Besar Turki ke Malaysia Dr. Merve Safa Kavakci,di sini.

Dalam pada itu, Dr. Merve Safa Kavakci berkata usaha mempromosikan Sabah sebagai destinasi selaman skuba turut akan dipergiatkan.

Katanya, penglibatan penyelam bebas yang memegang rekod dunia, Sahika Ercumen dalam program kerjasama bersama Lembaga Pelancongan Sabah (STB) akan meletakkan Sabah dalam peta Turki sebagai destinasi menarik untuk dilawati.

“Kita berterima kasih kepada STB kerana memberi peluang kepada penyelam bebas berasal daripada Turki untuk sama-sama mempromosikan Sabah.

“Menerusi kerjasama ini, Sahika akan belajar serba sedikit mengenai sukan pelancongan yang terdapat di Sabah dan memasukkan negeri ini dalam peta untuk dilawati oleh rakyat Turki," katanya.

Media Baharu