(Adik Afiq menerima sumbangan mesin Braille daripada Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin)
SUNGAI PETANI, 22 Februari- Cacat penglihatan sejak dilahirkan sama sekali tidak menghalang remaja lelaki berusia 14 tahun, Muhammad Afiq Haikal Norazizi untuk mengejar minatnya dalam bidang agama.
Bahkan sejak usia tiga tahun lagi Muhammad Afiq Haikal sudah mula menunjukkan kecenderungan terhadap ilmu agama.
Siapa sangka, walau mata tidak dapat melihat, namun pelajar sekolah rendah pendidikan khas di Sungai Petani, Kedah ini dianugerahkan Allah SWT dengan kebolehan membaca dan menghafaz Al-Quran.
Menurut ibunya Nornadia Mohamad Ghazali, 42 tahun, bakat anaknya itu bukan saja dipupuk dan disokong olehnya sendiri, malah datuk, nenek dan bapa saudara serta guru tadikanya antara mereka yang memberikan galakan dan sokongan kepada Muhammad Afiq Haikal meneruskan minat berkenaan.
Beliau berkata, anak tunggalnya itu belajar menghafaz Al-Quran menerusi rancangan agama yang disiarkan di televisyen dan guru agama di kawasan kediaman mereka.
Muhammad Afiq Haikal tidak menjadikan kekurangan yang dimiliki sebagai penghalang untuknya menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara serta keluarganya.
"Mata saja tak nampak, dari segi lain Alhamdulillah, pendengaran semua baik, dia boleh ikut pelajaran macam biasa, dia boleh ikut kehidupan macam biasa, dia pun berdikari..saya dah ajar daripada awal untuk dia sendiri urus diri," kata Nornadia.
Sementara itu, Muhamma Afiq Haikal menyimpan cita-cita untuk menjadi guru agama suatu hari nanti.
"Mula-mula banyak mendengar, buka tv dan macam-macam lagi, selepas itu belajar dengan guru agama di Masjid Al-Amin dengan Ustaz Ibrahim, tok imam masjid."
"Sekarang mengaji secara dalam talian dengan Ustaz Sumari, walaupun dia di Kuala Lumpur, saya mengaji melalui telifon, cita-cita saya nak jadi cikgu mengajar agama, saya minat sangat perihal agama," kata Muhammad Afiq.
(Adik Afiq ditemu bual media bersama ibunya Nornadia Mohamad Ghazali)
Mereka ditemui ketika menerima sumbangan mesin Braille daripada Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin di sebuah hotel di Sungai Petani, Kedah.
Menurut Datuk Wira Megat Zulkarnain, pihaknya terpanggil untuk membantu adik Muhammad Afiq selepas menerima permohonan bantuan daripada ibunya.
Mesin bernilai lebih RM4,000 diimport khas dari luar negara.
"Kita telah membuat tempahan selama hampir dua bulan untuk mesin Braille ini dapat sampai daripada Amerika Syarikat dan saya difahamkan anakanda Muhammad Afiq adalah merupakan antara pelajar pintar yang memerlukan bantuan ini,"kata Megat Zulkarnain.
Muhammad Afiq sebelum ini pernah mewakili Kedah ke pertandingan Majlis Tilawah Al-Quran Pendidikan Khas peringkat kebangsaan, dari tahun 2014 hingga 2016.
Dia turut muncul naib juara kategori hafazan pada program Tilawah Al-Quran Orang Kurang Upaya, OKU di Sabak Bernam, Selangor pada tahun 2015.