fb fb fb fb fb

Malaysia tuan rumah Kongres Hemofilia Dunia 2026 selepas Sepanyol

Foto hiasan/RTM

KUALA LUMPUR, 24 Jun –Dijangka kira-kira 4,500 delegasi dari lebih 130 buah negara akan berkunjung ke ibu negara bagi menghadiri Kongres Persekutuan Hemofilia Dunia (WFH) pada 2026 yang menyaksikan Malaysia selaku tuan rumah.

Ketua Pegawai Eksekutif Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia, (MyCEB) Azman Tambi Chik menerusi kenyataan berkata acara itu bukan sekadar memupuk kerjasama global dalam penjagaan hemofilia tetapi juga mengetengahkan kemampuan Malaysia sebagai destinasi utama untuk persidangan bertaraf antarabangsa.

“Secara rasmi, kami baru menerima baton pada satu majlis bersama rakan kongsi kami iaitu Persatuan Hemofilia Malaysia (HSM) pada Kongres WFH 2024 di Madrid, Sepanyol. Malaysia berbesar hati dan teruja mengalu-alukan WFH ke Malaysia. Kami komited untuk menawarkan pengalaman luar biasa untuk semua perwakilan, sekali gus mempromosikan keunikan budaya dan hospitaliti unik,” menurut Azman.

Kongres WFH yang dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu, bukan sahaja menghimpunkan pakar-pakar perubatan, penyelidik, saintis dan pengawal selia malah pesakit hemofilia untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka.

Tambah Azman, WFH 2026 diyakini memberi impak ekonomi bernilai RM112 juta termasuk RM47.9 daripada perbelanjaan pelawat, sekali gus memberi keuntungan signifikan kepada sektor kesihatan negara.

Keyakinan itu, menurut Azman berdasarkan kejayaan WFH 2024 di Sepanyol yang menarik lebih 3,000 delegasi dari 135 buah negara.  

Hemofilia sejenis penyakit warisan dan jarang berlaku; menyebabkan darah tidak membeku secara normal disebabkan kekurangan faktor pembekuan darah.

MAT YUNUS BIN SABRI