MARAN, 24 Jun- Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam satu kemalangan di simpang hadapan Balora Mustika Bandar Jengka di sini, pada Ahad.
Mangsa, Ahmad Imran Aiman Md Mubin, 23, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata kemalangan melibatkan motosikal Yamaha R250 dan kereta Nissan Sylphy.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam, mangsa, Ahmad Imran Aiman Md Mubin, 23, beralamat di Felda Lepar Utara 1 yang menunggang motosikal dalam perjalanan dari UiTM Jengka menghala ke bandar Jengka.
"Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba sebuah kereta telah keluar simpang di sebelah kanan secara melulu lalu dilanggar oleh motosikal mangsa yang sedang bergerak lurus.
"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu wanita, 64, dan anaknya berusia 24 tahun mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Jengka," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujarnya, siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.