fb fb fb fb fb

Malaysia tidak sokong pilihan raya dijanjikan junta Myanmar tahun depan - Saifuddin

KUANTAN, 14 November- Malaysia menetapkan pendirian tidak bersetuju dengan sebarang keputusan Myanmar untuk mengadakan pilihan raya baharu di bawah pemerintahan tentera junta, pada ogos tahun hadapan.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, bantahan itu berikutan junta dilihat tidak mempunyai moral untuk bercakap mengenai pilihan raya yang bakal diadakan itu.

Menurut Datuk Seri Saifudin, sebagai negara demokrasi, Malaysia percaya rakyat Myanmar mahukan sebuah negara demokratik.

 
(Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah)

"Pilihan raya yang hendak dijalankan oleh junta itu satunya ialah junta itu tidak ada moral untuk bercakap tentang pilihan raya kerana Myanmar baru sahaja mengadakan pilihan raya yang bebas dan ia diakui bebas oleh banyak pemerhati antarabangsa dan kumpulan yang pro demokrasi menang besar dalam pilihan raya itu.

"Tetapi sebelum sempat parlimen bersidang junta telah mengambil kuasa jadi tidak lojik sama sekali untuk Malaysia dan ASEAN menyokong pilihan raya tersebut," katanya dalam sidang media selepas melakukan panggilan atas talian dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB), Antonio Guterres di pejabat Parlimen Indera Mahkota, di sini.

Keadaan di Myanmar semakin buruk termasuk pergolakan politik dan kegiatan ekonomi yang lumpuh sejak rampasan kuasa pada februari tahun lalu yang menyaksikan pemimpin dipilih rakyat, Aung San Suu Kyi digulingkan dan ditahan tentera Junta Myanmar.

Ia sekali gus menamatkan demokrasi di negara itu sejak beberapa dekad dan mencetuskan bantahan di seluruh negara termasuk masyarakat antarabangsa.

Terdahulu, kaunselor di Jabatan Negara Amerika Syarikat Derek Chollet, menyatakan pilihan raya itu hanyalah percubaan pemerintah tentera yang mengguling kerajaan demokrasi negara itu bagi memanipulasi rantau ini.

Sementara itu mengulas mengenai kejadian letupan di Istiklal Avenue, Istanbul, Turkiye, Dato Seri Saifudin berkata, rakyat Malaysia di negara berkenaan dinasihatkan menghubungi pihak kedutaan Malaysia di Istanbul dan Ankara untuk memaklumkan keadaan terkini.

Menurutnya, konsulat Malaysia di Istanbul ketika ini memantau rapat perkembangan terkini kejadian letupan itu.

"Saya ingin menasihati rakyat malaysia yang kini berada di turkiye supaya berhati hati tidak menghampiri kawasan yang terlibat itu dan menghubungi pejabat kedutaan kita sama ada di angkara ataupun di instanbul,"katanya.

Letupan yang berlaku kira-kira 4.20 petang waktu tempatan mengorbankan enam nyawa dan mencederakan 81 yang lain.

Naib Presiden Turkiye Fuat Oktay melaporkan seorang penyerang wanita bertindak meletupkan bom, dan tindakan itu dianggap sebagai perbuatan pengganas.

Media Baharu