fb fb fb fb fb

Malaysia terus teguh sokong perjuangan Palestin - Duta Palestin

Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 14 November – Malaysia kekal teguh mempamerkan solidariti terhadap perjuangan Palestin meskipun lebih 400 hari peperangan berlaku.

Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali menyatakan penghargaan terhadap komitmen Malaysia, terutamanya dalam usaha menyeru komuniti antarabangsa untuk bertindak tegas terhadap jenayah rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.

Menurutnya, pendirian Malaysia dalam isu Palestin tidak boleh dipersoalkan dan sokongan penuh telah dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab dan Islam di Riyadh.

“Perdana Menteri dalam kenyataannya sewaktu sidang kemuncak itu menegaskan betapa pentingnya tindakan tegas diambil terhadap pencabulan undang-undang antarabangsa oleh Israel.

"Sokongan yang sama juga dinyatakan oleh Datuk Seri Anwar semasa lawatan kerja ke Mesir dan pertemuannya dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi," kata Walid kepada pemberita dalam temubual di Pejabat Kedutaan Palestin, di sini.

Beliau turut menyuarakan harapan agar Malaysia memainkan peranan penting dalam menyeru komuniti ASEAN untuk memberikan sokongan penuh kepada isu Palestin menjelang kepengerusian Malaysia dalam ASEAN, tahun hadapan.

“Saya berharap Malaysia akan menggunakan pengaruhnya dalam memimpin ASEAN untuk terus menggalakkan negara-negara lain menyatakan sokongan terhadap hak Palestin,” tambah Walid.

Setakat ini, dilaporkan sebanyak 43,665 rakyat Palestin telah terkorban, termasuk 17,387 kanak-kanak dan 12,000 wanita.

Sekurang-kurangnya 35,055 kanak-kanak kehilangan ibu atau bapa, manakala 430,000 kediaman dan 821 masjid turut musnah akibat konflik tersebut.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN