fb fb fb fb fb

Malaysia terkecuali daripada larangan visa umrah dan haji

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar

KANGAR, 10 April - Malaysia terkecuali daripada 14 negara yang dikenakan larangan visa sementara daripada kerajaan Arab Saudi berikutan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan terutama disiplin tinggi ketika pelaksanaan ibadah umrah dan haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, rakyat negara ini terkecuali daripada 18,000 individu yang ditahan Arab Saudi baru baru ini kerana melakukan pelbagai kesalahan membabitkan imigresen, buruh dan keselamatan sempadan. Pihaknya tidak menerima sebarang aduan rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berhubung perkara itu.

"Kita tidak ada menerima sebarang aduan secara rasmi keterlibatan jemaah haji Malaysia tahun lepas atau sebelum pada tu. Malaysia tidak termasuk dalam 14 negara yang disenarai hitamkan adalah negara-negara yang jemaah haji mereka atau jemaah umrah mereka memang terlibat dan mereka ini ditahan, berdasarkan fakta dan statistik yang kerajaan Arab Saudi ada tu, maka mereka mengambil keputusan untuk senarai hitamkan 14 negara tersebut, jadi Alhamdulillah kita tidak ada," kata Dr Na'im.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pra Pelancaran Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 2025.

Tambah beliau, pihaknya menerusi Lembaga Tabung Haji (TH) sering mengingatkan jemaah haji dan umrah untuk sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan negara itu.

Beliau juga berharap, jemaah haji di Malaysia terus mengekalkan disiplin yang tinggi ketika menunaikan Ibadah haji dan Umrah bagi memudahkan kerajaan berurusan dengan kerajaan Arab Saudi selepas ini.

Sementara itu, 109 peserta dari seluruh negara akan menyertai Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2025 yang akan berlangsung di Perlis pada 27 April hingga 2 Mei ini.

28 peserta tilawah dan 81 peserta hafazan itu yang terdiri daripada umur 14 hingga 58 tahun, manakala Johan akan mewakili negara dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa.

Dr Na'im berkata, beberapa pembaharuan dibuat pada edisi kali ini, kearah menyokong aspirasi pendigitalan dan kecerdasan buatan selain melaksanakan peraturan terbaharu.

Peraturan baharu tersebut selaras dengan aspirasi penghakiman antarabangsa dan memperkukuh daya saing wakil Malaysia di peringkat global.

"JAKIM bertekad untuk memastikan MTHQK kekal relevan dan segar menarik minat seluruh lapisan masyarakat Islam di Malaysia. JAKIM akan terus berusaha meningkatkan prestij dan kualiti penganjuran MTHQK selaras dengan perubahan dan kehendak semasa," katanya.

TETITIA YUSOFF