fb fb fb fb fb

Malaysia sumbang lima tan barang keperluan asas ke Afghanistan

KUALA LUMPUR, 22 Februari - Malaysia menghantar sebanyak lima tan barangan keperluan asas ke Afghanistan menerusi misi bantuan kemanusiaan dengan kerjasama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menyempurnakan penghantaran itu dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor.

"Misi ini dengan kerjasama Golden Horses Digital Investment Bank serta Global Peace Mission (GPM) dan Buddha’s Light International Association (BLIA)," katanya dalam sidang media hari ini.

Penerbangan khas ke ibu kota Kabul itu akan singgah melalui Hyderabad, India dan Islamabad, Pakistan.

Bantuan seberat lima tan itu meliputi pakaian musim sejuk, jaket, selimut dan susu tepung dan keperluan asas lain akan dihantar kepada rakyat dan kanak -kanak Afghanistan yang memerlukan.

"Pelaksanaan misi ini berikutan krisis kemanusiaan yang meruncing di Afghanistan.

"Bantuan kemanusiaan ini merupakan sumbangan rakyat Malaysia yang diharap dapat meringankan penderitaan rakyat Afghanistan semasa musim sejuk sekarang.

"NGO Malaysia sentiasa aktif dalam menghulurkan bantuan kepada masyarakat baik di dalam atau luar negara." katanya.


FOTO SAIFUDDIN ABDULLAH

Ia melibatkan kerjasama Ehsas Welfare & Social Service Organisation, Humanitarian Assistance Society, Afghan Welfare Society dan Just for Afghan Capacity and Knowledge.

Antara NGO yang pernah menjalankan misi yang sama ialah GPM, Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Muslim Care Malaysia (MCM), MERCY Malaysia dan Pertubuhan Ikatan Kekeluargaan, Rumpun Nusantara (HaRUM) dan terkini BLIA diikuti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Menurutnya, Pusat Penyelidikan Polisi Ekonomi (CEPR) Malaysia bersedia menghulurkan bantuan, terutamanya dalam penubuhan sistem perbankan dan kewangan Islam berdasarkan perundangan Syariah.

"Pihak swasta, korporat dan institusi juga bersedia menawarkan kepakaran dan pengetahuan mereka dalam membantu membina dan membangun semula Afghanistan," ujarnya lagi.

Antaranya bantuan dalam pembangunan infrastruktur, kesihatan, pendidikan, perlombongan sumber mineral, telekomunikasi dan tenaga baharu.

"Misi bantuan kemanusiaan ini menyerlahkan semangat Keluarga Malaysia. Ia mempamerkan solidariti rakyat Malaysia dengan rakyat Afghanistan bertepatan dengan budaya prihatin masyarakat majmu tanpa mengira kaum, bangsa dan agama," katanya.

Tambahnya, Malaysia akan berganding bahu bekerjasama membantu rakyat Afghanistan yang dilanda kesengsaraan dan meneruskan usaha libat-urus membina di samping pembangunan modal insan.

Media Baharu