fb fb fb fb fb

Malaysia sokong usaha BRICS bentuk sistem perdagangan global berasaskan teknologi

Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

BRAZIL 7 Julai -Malaysia menyokong usaha BRICS membentuk sistem perdagangan global berasaskan peraturan dan tadbir urus teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), demi memastikan pembangunan adil dan beretika.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya semasa Sidang BRICS berkata, peraturan lama kini tidak lagi mencerminkan realiti semasa.

Manakala, teknologi pula semakin terpisah mengikut garis geopolitik menyebabkan wujudnya sistem digital yang bersaing dan terpisah.

"Malaysia menyambut baik kenyataan BRICS mengenai tadbir urus AI. Kami menyokong visi AI yang berfungsi untuk pembangunan, bukan dominasi AI yang mengutamakan etika, mengurangkan ketidaksamarataan dan menghormati maruah manusia.

Peta hala tuju AI nasional dan garis panduan tadbir urus AI kami mencerminkan prinsip-prinsip ini," katanya dalam ucaptama Sidang BRICS, di sini.

Selain itu, Malaysia menyifatkan kerjasama serantau seperti rangka kerja ekonomi digital ASEAN dan cadangan penubuhan AI Safety Network sebagai platform penting ke arah masa depan ekonomi digital berdaya tahan.

Menurut Datuk Seri Anwar, ASEAN berpotensi mencapai nilai ekonomi digital sebanyak AS$2 trilion menjelang 2030, dengan pelaburan dan piawaian yang tepat.

"Malaysia kekal komited untuk bekerjasama dengan BRICS dan rakan lain demi masa depan digital yang adil serta ekonomi global yang saksama," katanya lagi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI