fb fb fb fb fb

Malaysia sedia jadi bab serantau pelabur Itali – Tengku Zafrul

Foto Facebook rasmi Tengku Zafrul

ROME, 3 Julai – Malaysia bersedia menjadi hab serantau untuk pelabur Itali menerokai pasaran ASEAN, menawarkan ekosistem yang dinamik serta percambahan bakat dan inovasi, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Menerusi satu hantaran di Facebook rasmi beliau, Tengku Zafrul menyatakan keterujaannya terhadap komitmen syarikat-syarikat Itali yang terus yakin untuk melabur dan menjalin kerjasama strategik bersama Malaysia.

Menurut beliau, tahun 2024 menyaksikan Itali muncul sebagai rakan dagang kelima terbesar Malaysia di Eropah, dengan jumlah dagangan mencecah $AS 3.2 bilion.

“Lebih 80 projek perkilangan dari Itali bernilai AS$442 juta telah berjaya dilaksanakan di Malaysia, merangkumi pelbagai sektor termasuk pemprosesan makanan, kimia, jentera dan peralatan, serta aeroangkasa,” katanya.

Tambahnya, potensi kerjasama antara kedua-dua negara dilihat semakin berkembang khususnya dalam bidang inovasi automotif, aeroangkasa, semikonduktor, serta tenaga boleh baharu seperti biojisim, solar dan hidrogen hijau.

Tengku Zafrul berkata, hubungan ekonomi dua hala Malaysia-Itali terus mengukuh dan akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan di rantau ini.

“Bersama-sama, kita akan memacu pertumbuhan yang lestari dan mencipta peluang baharu,” katanya.

MITI katanya komited memperkukuh kerjasama pelaburan dan perdagangan dengan negara-negara Eropah, seiring usaha memperluas akses pasaran dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di Asia Tenggara.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD