fb fb fb fb fb

Malaysia sedia bekerjasama beri rawatan pada rakyat Palestin

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) ketika pertemuan dengan Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani 

RIYADH, 30 April - Malaysia bersedia bekerjasama dengan Qatar dan negara-negara rantau Asia Barat bagi memberi rawatan kepada rakyat Palestin yang cedera akibat keganasan rejim Zionis.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada rakan sejawatannya yang juga Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani semasa kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan dua hala di luar Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Riyadh.

Pada pertemuan itu, Perdana Menteri menyatakan sokongan terhadap peranan Qatar sebagai pengantara dalam isu Palestin.

Datuk Seri Anwar turut memaklumkan bahawa Malaysia telah menyalurkan lebih 1,600 tan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Malah beliau juga menzahirkan penghargaan terhadap peranan Qatar membantu usaha membawa keluar rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron dari Gaza pada November 2023.

Perbincangan kedua-dua pemimpin turut menyentuh peluang meningkatkan pelaburan di Malaysia dan Qatar selain melonjakkan hubungan perdagangan kedua-dua negara yang kini bernilai $AS910 juta dolar atau kira-kira RM4.34 bilion.

Datuk Seri Anwar juga memaklumkan rakan sejawatnya itu bahawa beliau akan berkunjung ke Doha bagi menghadiri Forum Ekonomi Qatar pada pertengahan bulan depan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD