KUALA LUMPUR, 31 Oktober- Sasaran negara untuk berada pada kedudukan 25 terbaik dunia menerusi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dalam tempoh 10 tahun mampu dicapai.
Menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, bagi merealisasikannya, semua pihak harus bekerjasama sebagai satu entiti utuh serta tidak silo dalam melaksanakan strategi yang diatur.
"Persepsi daripada masyarakat luar yang berurusan dengan kita, sebab itulah yang saya kata yang paling mustahak kita buktikan bahawa kerajaan bersungguh-sungguh memastikan bahawa Indeks Rasuah dapat kita turunkan.
"Saya yakin dengan apa yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan buat masa ini, insya-Allah tangga itu akan dapat kita kurangkan, itu hasrat, kalau kita tidak letak target kita akan jadi berbual kosong, jadi apa yang dihasratkan Perdana Menteri dan juga Kerajaan Madani insya-Allah akan kita realisasikan", katanya.
Beliau berkata kepada media selepas merasmikan Pelancaran Sambutan Bulan Integriti 2023 yang bertemakan " Integriti Citra Malaysia Madani" di Sime Darby Convention Centre, Kuala Lumpur hari ini.
Sementara itu, dalam majlis tersebut juga turut berlangsung Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) yang melibatkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) serta Majlis Pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) melibatkan University College of Yayasan Pahang (UCYP).
Kerjasama ini bagi meningkatkan pembudayaan integriti dan tata kelola dalam kalangan masyarakat Malaysia.