fb fb fb fb fb

Malaysia rekod kehadiran 4.82 juta pelancong Muslim pada 2024

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Januari- Sejumlah 4.82 juta pelancong Muslim direkodkan memasuki Malaysia dengan anggaran perbelanjaan melebihi RM15 bilion setakat November 2024.

Peningkatan berbanding 4.5 juta pelancong dengan perbelanjaan RM14.7 bilion, pada 2023.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Indonesia, Brunei, Pakistan, Arab Saudi dan Kazakhstan menjadi antara lima negara utama yang menyumbang kepada peningkatan jumlah kehadiran pelancong Muslim ke Malaysia.

"Merujuk kepada unjuran pasaran, pelancongan Islam yang dijangka meningkat sekitar 1.2 peratus setiap tahun meletakkan Malaysia berada dalam posisi yang baik untuk menguasai sebahagian besar pasaran ini menjelang 2028," katanya.

Beliau merasmikan IslamiCruise Malaysia-Saudia, yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing serta Pengasas IslamiCruise International Suhaimi Abd Ghafer di ibu negara.

IslamiCruise Malaysia-Saudia dijangka mampu menarik lebih 70 peratus penumpang luar negara khusus dari Timur Tengah, Eropah dan Asia Tenggara sekali gus membuka pintu masuk yang luas kepada pemain industri untuk terus berkembang serta memperkukuh hubungan diplomatik serta ekonomi antara Malaysia dan Arab Saudi.

Pelayaran IslamiCruise Malaysia-Saudia dijadual bermula pada Februari 2026.

Ia akan membuka peluang besar dalam mempromosikan pelancongan Islam negara ke peringkat global, selari dengan hasrat kerajaan MADANI untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Sementara itu, Datuk Seri Dr Zahid memaklumkan, pengiktirafan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim terkemuka oleh Global Muslim Travel Index (GMTI) bukti keunggulan negara dalam segmen berkenaan.

Selain memiliki warisan Islam menerusi binaan masjid, tapak bersejarah dan budaya, beberapa industri dan sektor di Malaysia turut menjadi pemangkin kepada kejayaan pelancongan Islam.

Beliau berkata, infrastruktur dan hospitaliti pelancongan Islam yang sistematik menjadi pilihan utama pelancong Islam luar negara.

Selaku Pengerusi Jawatankuasa Tahun Melawat Malaysia 2026, beliau turut menyasarkan kemasukan lebih 35.6 juta pelancong dengan anggaran pendapatan sehingga RM147.1 bilion.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE