Malaysia perlu rebut peluang pelaburan di sebalik krisis global

Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz/RTM

KUALA LUMPUR, 24 Mac Malaysia perlu menampilkan diri sebagai destinasi pelaburan yang stabil dan diyakini ketika pelabur global menilai semula risiko susulan konflik di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Manfaatkan peluang ketika aliran modal dan rantaian bekalan global disusun semula akibat ketidaktentuan geopolitik.
  • Tonjolkan kestabilan politik, kedudukan strategik ASEAN dan rangkaian perdagangan kukuh untuk menarik pelabur.
  • Utamakan pelaburan pada pusat data, tenaga boleh baharu, logistik, infrastruktur, kesihatan, keselamatan makanan dan pembuatan maju.
  • Percepat proses kelulusan, perkukuh ekosistem mesra pelabur, dan pastikan pelaburan menjana pekerjaan serta manfaat untuk rakyat.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, ketidaktentuan geopolitik memberi kesan langsung kepada ekonomi dunia termasuk kenaikan harga tenaga, kos logistik serta tekanan inflasi.

Namun menurut beliau, situasi itu turut membuka peluang strategik apabila aliran modal dan rantaian bekalan global mula disusun semula.

“Pelabur akan memilih negara yang stabil, mempunyai dasar jelas dan sistem yang boleh dipercayai.

“Dalam dunia yang tidak menentu, ciri-ciri ini semakin bernilai,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata Malaysia mempunyai kelebihan termasuk kestabilan politik, kedudukan strategik di ASEAN serta jaringan perdagangan global yang kukuh.

Selain itu, kekuatan dalam kewangan Islam, ekosistem halal serta hubungan rapat dengan Asia Timur dan negara Teluk turut menjadi tarikan pelabur.

Tambahnya, antara peluang besar ialah aliran modal dari negara Teluk yang mengurus dana kekayaan berdaulat bernilai kira-kira US$5 trilion.

Sektor seperti pusat data, tenaga boleh baharu, logistik, infrastruktur, kesihatan, keselamatan makanan dan pembuatan maju dikenal pasti berpotensi menarik pelaburan.

Dalam masa sama, rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara Malaysia dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dijangka memperkukuh kerjasama ekonomi dan menyokong aliran pelaburan jangka panjang.

Beliau bagaimanapun mengakui konflik berterusan boleh memberi kesan kepada rakyat melalui peningkatan kos sara hidup.

Sehubungan itu, Malaysia perlu bertindak proaktif dengan memperkukuh ekosistem mesra pelabur termasuk mempercepat proses kelulusan dan memberi tumpuan kepada sektor strategik.

Tengku Zafrul turut menegaskan manfaat pelaburan perlu dinikmati rakyat melalui penciptaan pekerjaan, pembangunan infrastruktur dan pengukuhan ekonomi negara.