
KUALA LUMPUR, 7 November – Malaysia perlu memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi ancaman serangan siber yang semakin kompleks dan canggih, khususnya terhadap infrastruktur kritikal yang boleh menjejaskan keterjaminan makanan negara.
- Bina keupayaan menjangka dan menghadapi serangan siber, bukan sekadar bertindak selepas insiden.
- Perang siber ancam sistem digital pengedaran dan pembelian bekalan makanan, gangguan boleh melumpuhkan urusan.
- Bekalan beras mencukupi sekurang-kurangnya enam bulan; bekalan ikan mampu menampung sehingga lapan bulan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ancaman berkenaan membimbangkan kerana membabitkan seluruh sektor, sekali gus memerlukan negara membina keupayaan untuk menjangka dan menghadapi serangan, bukan sekadar bertindak selepas insiden berlaku.
“Memang betul membimbangkan, tetapi kita mesti bina kekuatan untuk menjangka serangan, bukan tunggu sehingga berlaku baru bertindak. Kita perlu kembali kepada pendekatan menjangka ancaman kerana sistem ekonomi kini lebih kompleks dan canggih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membincangkan daya tahan negara terhadap keterjaminan makanan bagi mendepani ketidaktentuan global pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri Ke-14, di sini.
Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata ancaman perang siber perlu diberi perhatian serius kerana gangguan terhadap sistem digital boleh menjejaskan urusan pengedaran, tempahan dan pembelian bekalan makanan.
Beliau berkata, meskipun rakyat masih boleh meneruskan kehidupan tanpa internet, televisyen atau telefon bimbit, kelumpuhan sistem digital boleh menimbulkan persoalan lebih besar mengenai kelancaran urusan mendapatkan bekalan makanan.
“Bayangkan dalam masa seminggu tidak ada internet, tidak ada televisyen, tidak ada telefon bimbit. Boleh tidur, tetapi bagaimana orang nak memesan beras, nak memesan ikan dan barang-barang makanan?
“Sebab perang siber ini realiti. Peperangan akan datang adalah peperangan siber dan persediaan minda kita perlu ke arah itu,” katanya.
Menurutnya, Malaysia mempunyai bekalan beras mencukupi untuk sekurang-kurangnya enam bulan, manakala bekalan ikan dianggarkan mampu menampung keperluan sehingga lapan bulan.