Malaysia perkasa inovasi produk getah bernilai tinggi

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Malaysia perlu terus mempergiat inovasi dengan menghasilkan lebih banyak produk getah khusus dan bernilai tinggi bagi memastikan industri itu kekal berdaya saing di peringkat global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mempercepat penggunaan teknologi digital dan memperkukuh pembangunan bakat untuk memenuhi keperluan industri masa depan.
  • Menekankan kebolehkesanan, pematuhan piawaian kelestarian serta memastikan bekalan getah asli tempatan stabil bagi pengilangan.
  • Menggiatkan kerjasama antara agensi kerajaan, pemain industri dan universiti melalui MoU untuk percepat inovasi dan pengkomersialan teknologi.
  • Memperluas akses pasaran dan meneroka pasaran baharu menerusi usaha perdagangan serta dasar menyokong pertumbuhan industri.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata industri getah turut perlu mempercepat penggunaan teknologi digital serta memperkukuh pembangunan bakat bagi memenuhi keperluan industri pada masa hadapan.

“Usaha berkenaan penting bagi meningkatkan keupayaan industri, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pembekal global produk getah yang inovatif, mampan dan berkualiti tinggi.

“Malaysia perlu terus menyesuaikan diri dan meningkatkan keupayaan industri bagi mengukuhkan kedudukan negara sebagai pembekal global produk getah yang inovatif, mampan dan berkualiti tinggi.

“Usaha itu termasuk memperkukuh rantaian bekalan yang mampan dan berdaya tahan, selain memperluas akses pasaran bagi produk getah Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Makan Malam Kepimpinan dan Jaringan Industri Majlis Getah Malaysia (MRC), pada Khamis.

Menurutnya, langkah berkenaan selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 serta Dasar AgriKomoditi Negara 2021-2030.

Dalam pada itu, aspek kebolehkesanan produk, pematuhan piawaian kelestarian serta pengukuhan bekalan getah asli tempatan perlu diberi perhatian bagi memastikan pengilang memperoleh bekalan bahan mentah yang stabil.

Katanya, industri getah juga perlu meneroka pasaran baharu melalui usaha perdagangan serta kerjasama lebih erat antara agensi kerajaan dan pemain industri.

“Kementerian akan terus menyediakan dasar dan peraturan yang menyokong pertumbuhan industri, khususnya dalam memperkukuh bekalan getah asli tempatan,” katanya.

Pada majlis sama, beliau menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MRC dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Monash University Malaysia.

Turut berlangsung pertukaran MoU tiga pihak antara MRC, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Kerjasama berkenaan bertujuan mempercepat inovasi, menyokong pengkomersialan teknologi baharu serta membangunkan lebih banyak produk getah bernilai tinggi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.