KUALA LUMPUR, 15 Disember -Malaysia perlu memodenkan grid tenaga negara bagi menyokong peralihan kepada ekonomi rendah karbon yang kompetitif, inklusif dan berdaya tahan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pemodenan grid elektrik merupakan keperluan asas untuk memastikan pertumbuhan tenaga boleh baharu dapat dilaksanakan secara berkesan.
"Langkah itu penting dalam menyokong pembangunan ekonomi digital serta teknologi kecerdasan buatan (AI) yang berkembang pesat," katanya ketika menyampaikan ucaptama pembukaan Global AI, Digital & Green Economy Summit 2025, di sini, hari ini.
Beliau yang juga merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menegaskan, peralihan tenaga tidak boleh bergantung semata-mata kepada penambahan kapasiti penjanaan tenaga hijau.
Sebaliknya, memerlukan transformasi menyeluruh sistem kuasa negara merangkumi aspek penjanaan, penghantaran, pengagihan serta operasi grid.
“Kita menyeru syarikat utiliti mengemukakan projek yang mampu mengurangkan pengehadan bekalan secara terukur, mempercepat sambungan serta memperkukuh sistem bagi menghadapi cuaca ekstrem,” ujarnya.
Beliau turut menggesa pengilang dan pemilik bangunan memanfaatkan penyelesaian kecekapan tenaga, respons permintaan dan sistem penyimpanan yang dipacu AI.
“Pendekatan ini penting supaya permintaan tenaga dapat menjadi sumber sistem yang boleh dipercayai,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pelaburan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), termasuk penggunaan perancangan berasaskan AI, automasi dan sistem storan tenaga, merupakan langkah penting ke arah mewujudkan grid yang lebih pintar dan adaptif.
Kerajaan, katanya, menjangkakan hasil ketara daripada pelaburan itu, termasuk sambungan grid yang lebih pantas, pengurangan kesesakan sistem, penurunan kadar curtailment serta peningkatan daya tahan grid ketika berdepan cuaca ekstrem.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pertumbuhan ekonomi digital dan pembangunan pusat data perlu diseimbangkan dengan kecekapan tenaga serta penggunaan sumber tenaga bersih.
"Hanya projek AI dan infrastruktur digital yang memenuhi ambang kecekapan tenaga serta menyumbang kepada pengukuhan grid akan menerima sokongan kerajaan.
Pertumbuhan digital dialu-alukan, namun ia mesti merupakan pertumbuhan hijau yang dirancang sejak awal, bukan ditambah kemudian,” katanya.
Beliau turut menyentuh kepentingan kerjasama serantau melalui integrasi tenaga rentas sempadan ASEAN bagi meningkatkan keselamatan tenaga dan mengurangkan kos sistem secara keseluruhan.
Menurut Datuk Seri Fadillah, usaha memodenkan grid dan memperkukuh infrastruktur tenaga bukan sekadar persediaan jangka panjang, sebaliknya keperluan mendesak bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam ekonomi rendah karbon global.