fb fb fb fb fb

Malaysia perlu berwaspada hadapi La Nina singkat

Dr. Siti Nurhidayu Abu Bakar

KUALA LUMPUR, 24 September - Malaysia dijangka berdepan fenomena La Nina singkat dalam masa terdekat, yang boleh meningkatkan risiko banjir, banjir kilat dan tanah runtuh, khususnya di kawasan berisiko.

Pensyarah Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr. Siti Nurhidayu Abu Bakar berkata, fenomena itu berlaku setiap lima hingga tujuh tahun sekali dan kali ini diramal memberi kesan ketara terhadap aktiviti harian masyarakat.

"La Nina akan memberi kesan kepada Malaysia dengan meningkatkan tempoh, intensiti dan juga kekerapan hujan. Kita akan menerima hujan yang lebih lebat, lebih lama dan lebih kerap.

"Keadaan ini meningkatkan risiko banjir, termasuk banjir kilat, serta memberi kesan kepada aktiviti harian, terutama di kawasan berisiko yang mudah terdedah kepada kejadian tanah runtuh," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media di sini.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada, terutama mereka yang tinggal di kawasan berisiko.

Pemantauan secara kendiri juga boleh dilakukan berhampiran dengan kawasan perumahan masing-masing untuk mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

"Sekiranya berlaku hujan berterusan, panjang dan lebat, penduduk yang tinggal berhampiran kawasan cerun perlu lebih berwaspada. Tanda-tanda awal tanah runtuh boleh dikenal pasti, antaranya aliran air berwarna gelap yang keluar dari cerun atau bunyi batuan yang jatuh. Itu menunjukkan jisim tanah di cerun tersebut sudah mula berat dan tidak stabil.

"Keadaan ini lebih berisiko di kawasan cerun terbuka yang tiada litupan tumbuhan, kerana tanah yang terdedah lebih mudah melemah dan akhirnya mencetuskan kejadian tanah runtuh," katanya lagi.

Antara langkah penting yang perlu dilaksanakan termasuk mempertingkatkan sistem pemantauan dan pemasangan sensor cerun, khususnya di kawasan berisiko, yang boleh dilaksanakan agensi berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Mengulas langkah jangka panjang, Dr. Siti Nurhidayu menekankan perlunya pendekatan proaktif seperti sistem amaran awal banjir, pemantauan cerun serta pembangunan peta risiko interaktif, berbanding hanya bertindak selepas bencana berlaku.

"Jika kita mempunyai satu peta risiko tanah runtuh yang komprehensif dan mengambil kira faktor perubahan iklim termasuk fenomena La Niña, ia boleh dimanfaatkan sebagai peta interaktif.

"Melalui peta ini, masyarakat boleh menerima maklumat terkini serta amaran menerusi portal-portal yang dibangunkan agensi berkaitan. Dengan cara ini, orang ramai lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan risiko dan dapat mengambil tindakan sewajarnya lebih awal," katanya.

Aspek pendidikan dan kesedaran masyarakat juga perlu dipertingkatkan supaya setiap arahan keselamatan dipatuhi.

"Apabila kita berhadapan dengan alam sekitar, banyak perkara boleh berlaku di luar jangkaan. Sebab itu, lebih baik kita ambil langkah awal dan bersedia lebih awal, daripada kita rasa selamat tetapi akhirnya terperangkap dalam keadaan berbahaya.

"Kalau ada tanda-tanda awal seperti tanah runtuh atau banjir, jangan tunggu lama — segeralah keluar dari rumah, dan sekiranya pihak berkuasa keluarkan arahan perpindahan, patuhilah arahan itu kerana keselamatan diri dan keluarga jauh lebih penting daripada segalanya," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI