PUTRAJAYA, 30 September – Langkah mencegah dan menangani keganasan akan turut diperkuat di peringkat antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha tersebut akan diperkasa melalui kepengerusian Malaysia dalam ASEAN tahun hadapan, bagi menjamin keselamatan negara-negara anggota daripada ancaman kumpulan pengganas.
“Kita akan menyokong dan memberi tumpuan kepada kerjasama yang berkesan antara negara. Apabila Malaysia mengambil alih kepengerusian ASEAN tahun depan, saya pasti akan memberikan sokongan ini untuk kerjasama yang lebih baik di kalangan negara-negara ASEAN. Ini penting untuk memastikan tindakan lebih efektif terhadap pengganas, khususnya dengan senjata dan kaedah yang semakin canggih,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Malaysia bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan, di sini.
Anwar turut menegaskan bahawa langkah ini penting bagi mewujudkan pendekatan yang lebih berkesan dalam memerangi keganasan berikutan pengganas kini menggunakan senjata, strategi canggih dan pembiayaan yang besar.