fb fb fb fb fb

Malaysia-Pakistan perkukuh perdagangan, pelaburan serta kerjasama serantau

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Malaysia dan Pakistan komited memperkukuh hubungan dua hala menerusi bidang perdagangan, pelaburan serta kerjasama serantau bagi menghadapi ketidaktentuan global dan merangsang pertumbuhan ekonomi kedua dua negara.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha tersebut memerlukan kefahaman serta pelaksanaan berkesan antara kedua-dua negara, khususnya melalui penglibatan sektor swasta dalam aktiviti pelaburan dan perniagaan.

"Seperti yang kita sedia maklum, negara yang memacu pertumbuhan ekonomi akhirnya akan memberi tumpuan kepada pelaburan perdagangan dan kerjasama akan melangkaui hubungan diplomatik semata-mata.

"Oleh itu, saya menyokong sepenuhnya kenyataan Perdana Menteri Shehbaz Sharif mengenai keperluan untuk menyokong perusahaan. Peranan jentera serta jabatan kerajaan pula adalah untuk memastikan pelaksanaan dilakukan secara cekap, pantas dan tidak terikat dengan cabaran birokrasi yang lazim", katanya.

Beliau berucap pada Persidangan Perniagaan dan Pelaburan Malaysia-Pakistan di ibu negara.

Turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta delegasi perniagaan dan pelaburan Malaysia-Pakistan.

Tambahnya, kejayaan hubungan dua hala tidak hanya bergantung kepada persahabatan semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen politik yang stabil dan kecekapan pelaksanaan dasar yang jelas dalam memastikan ketahanan ekonomi negara.

Pada masa sama, beliau turut menekankan kepentingan kekuatan ASEAN sebagai blok perdagangan yang kukuh dalam aspek pelaburan, tenaga dan keterhubungan.

Namun katanya, kekuatan itu perlu diperluas dengan kerjasama startegik termasuk dengan negara Islam lain serta kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China.

ROSLINA BINTI DIN