KUALA PILAH, 27 Januari- Malaysia merupakan negara pertama yang mewujudkan perjanjian persefahaman bagi Garis Panduan Perkongsian Rangkaian dan Infrastruktur Telekomunikasi, Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN) 6 Hala.
MOCN bertujuan menetapkan prinsip, proses serta panduan bagi pelaksanaan perkongsian infrastruktur rangkaian oleh operator rangkaian mudah alih (MNO) untuk menggalakkan kerjasama serta kesalinghubungan di tujuh kawasan yang mendapat liputan yang kurang memuaskan.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, garis panduan tersebut menyediakan penyelesaian praktikal dalam membantu MNO memaksimumkan manfaat perkongsian infrastruktur demi kepentingan rakyat.
"Ini kita jangka, bukan hanya bentuk persefahaman di antara syarikat telekomunikasi yang bersaing sesama mereka, tetapi bentuk persefahaman yang pertama di dunia, terutama bila difikirkan syarikat telekomunikasi bersaing.
"Tetapi pada masa yang sama kita juga jangkakan ia akan menjadi industri standard terutama bagi kawasan luar bandar, kawasan terpencil untuk membantu masyarakat setempat, sama ada mendapat kesalinghubungan.
"Garis panduan ini membolehkan kerjasama yang erat dan lebih pantas dan juga lebih jelas", katanya pada Majlis Pelancaran Garis Panduan Perkongsian Rangkaian dan Infrastruktur (MOCN) dan Perasmian Menara Komunikasi Replika Tengkolok Gergasi, di Jalan Bukit Putus, Kuala Pilah.
Sementara itu, Menara Komunikasi Replika Tengkolok Gergasi di Jalan Bukit Putus merupakan kerjasama pertama melibatkan enam syarikat telekomunikasi di negara ini.
Ia memberikan liputan berterusan kepada lebih 3,000 pengguna setiap hari khususnya di kawasan tarikan pelancong berdekatan.
Terdahulu, Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan merasmikan Struktur Menara Telekomunikasi dan Replika Tengkolok Gergasi.