KUALA LUMPUR, 6 Jun- Mahkamah Rayuan Perancis pada Selasa mengekalkan permohonan Malaysia menolak 'Partial Award' yang dikeluarkan penimbang tara Gonzalo Stampa pada Mei 2020, berhubung tuntutan yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.
Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata keputusan tersebut bermaksud penuntut tidak boleh bergantung kepada award yang diputuskan di Perancis itu untuk sebarang tujuan.
"Keputusan itu bermakna pihak menuntut tidak boleh bergantung kepada tuntutan palsu mereka di Perancis untuk apa jua tujuan.
"Mahkamah Rayuan Paris mendapati bahawa penimbang tara Stampa tersalah mempertahankan bidang kuasanya," kata Azalina dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.
(Datuk Seri Azalina Othman Said/Foto fail Bernama)
Kejayaan itu sekali gus menutup peluang kumpulan Sulu daripada terus membuat tuntutan tidak berasas terhadap Malaysia.
"Keputusan itu juga bakal membatalkan tuntutan AS$15 bilion oleh kumpulan Sulu," tambahnya.
Dalam pada itu, tegas Azalina, Malaysia sedang berusaha agar pembatalan itu direkodkan dalam keputusan mahkamah secepat mungkin, sekali gus meranapkan usaha pihak penuntut.
Sebelum ini, tuntutan kumpulan Sulu dicapai Gonzalo Stampa menerusi Mahkamah Timbang Tara Paris.
Mereka juga pernah menyasarkan aset Malaysia di Perancis dan Luxembourg, tetapi tidak berjaya.
Tambah Azalina lagi, kerajaan akan terus mengambil semua tindakan yang perlu untuk menamatkan tuntutan dan memastikan kepentingan serta kedaulatan Malaysia dilindungi sepanjang masa.