KUALA LUMPUR, 20 Ogos- Malaysia berupaya menjadi peneraju serantau bagi amalan lestari termasuk dalam industri penerbangan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata negara boleh memanfaatkan kelebihan dalam industri aeroangkasa, menggalakkan kerjasama serantau dan mempercepat penggunaan teknologi hijau merentasi ASEAN.
Jelasnya, potensi negara dalam industri aeroangkasa tidak wajar diterhadkan sebagai pembekal.
Malah, perlu dikaitkan secara langsung dengan industri semikonduktor atau pembangunan kimia dan mineral.
"Menerusi hubungan ini, Malaysia boleh berinovasi dan mencipta produk, proses atau bahan baharu dengan harta intelek Malaysia. Malaysia bukan sahaja mahu menjadi hab pembuatan, malah bercita-cita untuk menjadi sebuah negara yang berdaya cipta," kata Liew kepada pemberita, hari ini.
Beliau berucap pada Majlis Pelancaran Sidang Kemuncak Aeroangkasa Malaysia 2024 (MyAERO‘24) yang menghimpunkan lebih 40 pempamer dan lebih 2,000 peserta termasuk peserta industri, pelajar universiti dan sekolah.
Tambahnya, terdapat potensi untuk menghubungkan industri minyak sawit dengan aeroangkasa bagi pembangunan bahan api penerbangan mampan.