fb fb fb fb fb

Malaysia kutuk serangan keganasan ke atas Dewan Bandaraya Crocus

Tangkap layar video kejadian di Dewan Bandaraya Crocus/X

KUALA LUMPUR, 23 Mac- Malaysia mengutuk serangan keganasan ke atas Dewan Bandaraya Crocus, Moscow semalam, yang menyebabkan kematian sekurang-kurangnya 60 individu manakala lebih 145 yang lain cedera.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan berkata, Malaysia merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada Kerajaan Persekutuan Rusia serta kepada keluarga mangsa yang terlibat.

"Pendirian Malaysia amat jelas menolak sekeras-kerasnya segala tindakan keganasan dan
ekstremisme dalam semua bentuk dan manifestasi.

"Malaysia juga akan terus menekankan keperluan untuk usaha yang bersepadu di peringkat antarabangsa bagi menghapuskan tindakan keganasan secara menyeluruh dan berkesan," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun Kementerian Luar Negeri, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Moscow, telah mengesahkan bahawa semua rakyat dan pelajar Malaysia yang berdaftar di Moscow berada dalam keadaan selamat.

Namun rakyat dan pelajar Malaysia di Moscow dinasihatkan untuk sentiasa mengikuti perkembangan terkini, mengambil langkah berjaga-jaga serta mengikuti nasihat yang telah dikeluarkan oleh pihak
berkuasa tempatan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI