fb fb fb fb fb

Gerak Rahmah 2024: 18 periuk bubur lambuk disediakan di Pahang

Program Gerak Rahmah 2024: Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Negeri Pahang yang diadakan di Kuantan, hari ini

KUANTAN, 23 Mac- Sebanyak 18 periuk bubur lambuk berjaya disediakan dalam program Gerak Rahmah 2024: Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Negeri Pahang yang diadakan di Kuantan, hari ini.

Program yang berjalan serentak di seluruh negara itu, melibatkan penyertaan pelbagai kaum dan agama serta kerjasama pelbagai pihak dan agensi.

Menurut Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Leong Yu Man, di Pahang program kali ini mendapat sambutan baik dari 49 penyertaan pelbagai pihak termasuk kawasan rukun tetangga (KRT), persatuan rumah ibadat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Tambahnya, program ini merupakan salah satu inisiatif dalam mempergiatkan aktiviti kemasyarakatan, selain membangunkan komuniti yang bersilaturrahim.

Beliau berkata demikian selepas turut serta mengambil bahagian mengacau bubuk lambuk di perkarangan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan, Pahang.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Perpaduan (Kementerian Perpaduan Negara), Zulkifli Hashim dan Pengarah Perpaduan Negeri, Amira Abdullah.

Program yang bermula seawal pukul 9.00 pagi ini dimulakan dengan aktiviti rewang, diikuti dengan pengagihan bubur lambuk kepada kumpulan sasar dan orang ramai.

ROSLINA BINTI DIN