KOTA TINGGI, 7 April – Malaysia akan mengkoordinasikan jenis bantuan kemanusiaan yang akan disalurkan ke Myanmar susulan gempa bumi kuat yang melanda negara itu pada 28 Mac lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata antara bentuk bantuan yang diminta termasuklah penempatan hospital medan bagi merawat mangsa yang terjejas akibat bencana tersebut.
Katanya, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 turut akan memanfaatkan peranan itu untuk menyelaras bantuan kemanusiaan serantau secara lebih tersusun dan berkesan.
“Namun begitu, kita perlu bergantung kepada koordinasi yang ditetapkan oleh pihak Myanmar. Kita tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya kerana kita sedia maklum keadaan di sana masih belum stabil dengan konflik yang berterusan antara pihak junta dan kumpulan lain.
“Jika kita tidak bergantung kepada keputusan pihak berwibawa di Myanmar, dikhuatiri kita akan terperangkap dalam konflik dalaman negara tersebut,” katanya dalam satu sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Perdana Parlimen Kota Tinggi di sini, hari ini.
Tambah beliau, keutamaan adalah memastikan keselamatan semua anggota pasukan bantuan yang dihantar, selain menjamin keberkesanan misi kemanusiaan yang dirancang.