KUALA LUMPUR, 21 Oktober - Malaysia mahu memastikan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bukan sekadar manfaat bagi syarikat besar, sebaliknya memberi impak terus kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pekerja, serta komuniti setempat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan RCEP akan bergantung pada kemampuan negara anggota menterjemah komitmen dalam perjanjian itu kepada keadaan semasa.
"Kita perlu pastikan RCEP bukan hanya angka atau dokumen tetapi peluang yang nyata untuk rakyat, terutama PKS dan tenaga kerja tempatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sidang Kemuncak DHL GoTrade 2025 di sini, hari ini.
Jelas Datuk Seri Anwar, Malaysia akan memperkukuh peranan ASEAN sebagai pusat utama pelaksanaan RCEP apabila menjadi tuan rumah RCEP Leaders’ Meeting hujung bulan ini.
"Matlamat kita jelas memastikan ASEAN kekal sebagai peneraju keterbukaan serantau yang membawa kemakmuran bersama," katanya lagi.
Tambah beliau, pelaksanaan RCEP perlu memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan halangan bukan tarif, mempercepat kemudahan perdagangan, serta memperkukuh sektor ekonomi digital dan peralihan hijau.
RCEP merupakan perjanjian perdagangan terbesar dunia yang merangkumi hampir satu pertiga Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global dan jumlah perdagangan dunia.
