fb fb fb fb fb

Malaysia komited jadikan KL sebagai hab global, tarik perniagaan global

Dr Zaliha Mustafa 

KUALA LUMPUR, 11 November- Malaysia komited menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab global yang mampu menarik dan menyokong pelbagai jenis perniagaan antarabangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata Kuala Lumpur memiliki kelebihan sebagai pusat menyediakan akses kepada bakat tempatan berkemahiran tinggi.

Selain itu, mempunyai infrastruktur yang canggih dan rangkaian sumber yang luas.

"Malaysia komited untuk membina negara berasaskan teknologi di mana perniagaan, komuniti, dan individu mempunyai sumber untuk berinovasi dan berjaya, terutamanya di Kuala Lumpur.

"Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 menggambarkan visi berani untuk menjadikan bandar ini sebagai sebuah metropolis pintar, berdaya tahan, dan mampan melalui pelaburan besar dalam infrastruktur, rangkaian digital, dan inisiatif hijau.

"Pusat kepada transformasi ini adalah visi 'Chase City' yang menekankan konsep bandar yang bersih, sihat, maju, selamat, dan mesra alam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Pusat Operasi Global (GOC) baharu di Kuala Lumpur yang turut dihadiri bersama Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.

Menerusi pelancaran itu, ia dijangka dapat mewujudkan 1,000 pekerja berkemahiran baharu menjelang 2027.

Usaha itu selaras dengan matlamat Malaysia untuk berada dalam kedudukan 20 negara terbaik ekosistem permulaan global menjelang 2030.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI