KUALA LUMPUR, 11 November- Anugerah Seni Negara (ASN) 2024 dianjurkan semula setelah 15 tahun tergendala dengan 165 pencalonan daripada pelbagai bidang seni.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam satu kenyataan memaklumkan, anugerah berkenaan sebagai penghormatan tertinggi kepada penggiat seni yang berjasa dalam membangunkan seni budaya Malaysia.
"Tahun ini, ASN 2024 akan merangkumi empat kategori utama iaitu Anugerah Seniman Negara, Anugerah Khas ASN 2024: Biduan Negara, Anugerah Karyawan Seni dan Anugerah Pendukung Seni.
"Setiap pencalonan dinilai dengan teliti oleh panel pakar yang terdiri daripada bidang akademik, penggiat seni dan pihak berkepentingan dalam industri.
"Penerima anugerah dipilih berdasarkan ketokohan, sumbangan kepada masyarakat, kepimpinan dan impak mereka dalam memperkasa seni budaya tempatan," menurut kenyataan itu.
Majlis berkenaan akan disempurnakan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Majlis anugerah berkenaan akan diadakan pada 13 November pukul 8.30 malam di Hotel Majestic Kuala Lumpur.