KUALA LUMPUR, 21 Oktober - Malaysia komited untuk terus membawa semangat keterbukaan dan perpaduan dalam ASEAN, ketika rantau ini berdepan cabaran ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prinsip keterbukaan dan perpaduan itu perlu dikekalkan agar ASEAN kekal menjadi nadi penting dalam rantaian bekalan global serta platform pertumbuhan ekonomi serantau.
"Dalam ketidaktentuan ini, ASEAN mesti terus berpegang pada prinsip keterbukaan dan perpaduan. Rantau ini kini menjadi nadi rantaian bekalan global serta pasaran dinamik dengan lebih 680 juta penduduk," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sidang Kemuncak DHL GoTrade 2025 di sini, hari ini.
Jelas beliau, pertumbuhan pesat ASEAN merupakan hasil kebersamaan negara anggota untuk memperkukuhkan perdagangan bebas dan adil, sekali gus dapat memanfaatkan kelebihan masing-masing.
Tegas beliau, Malaysia akan meneruskan usaha melaksanakan Visi ASEAN 2045 di bawah tema Inklusiviti dan Kemampanan, yang menumpukan kepada pembangunan ekonomi yang seimbang dan berperikemanusiaan.