KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Malaysia kekal berperanan besar dalam membentuk dan menerajui masa depan ASEAN, khususnya dalam merealisasikan visi ASEAN 2045.
Penolong Profesor Politik Ekonomi (CHINA) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr. Lee Pei May berkata, Malaysia menyokong agenda serantau seperti pembangunan mampan serta peralihan ke arah ekonomi digital dan ekonomi hijau.
Malaysia turut berperanan sebagai penengah (mediator) dalam menangani ketegangan kuasa besar antara China dan Amerika Syarikat (AS), serta memainkan peranan penting dalam menyelesaikan isu-isu serantau.
"Contohnya, dalam isu antara Thailand dan Kemboja, Malaysia telah menunjukkan keupayaannya untuk menyelesaikan konflik antara negara-negara ASEAN," katanya ketika ditemui selepas Program Biz Malaysia di sini, hari ini.
Mengulas isu geopolitik lebih luas, Dr. Lee menegaskan bahawa ASEAN perlu kekal bersatu dan menekankan kebersamaan agar tetap aman dan stabil di tengah-tengah ketegangan kuasa besar dunia.
"Pada situasi seperti ini, negara-negara ASEAN perlu lebih bersatu dan menekankan sentralitinya. Selain itu, sebarang konflik atau ketegangan yang berlaku antara negara anggota ASEAN perlu diselesaikan melalui mekanisme yang dipimpin oleh ASEAN," katanya.
Tambah beliau, ASEAN perlu memastikan kuasa besar menghormati kedaulatan anggota dan sentraliti rantau, dengan mengambil contoh China yang menyokong Perjanjian Zon Bebas Gencatan Senjata ASEAN.
Selain itu, pelan tindakan jelas berfasa serta pemantauan berkala oleh Sekretariat ASEAN penting untuk memastikan dasar lebih efisien, selaras dan memberikan hasil nyata kepada rakyat.
Langkah tersebut menegaskan peranan strategik Malaysia dalam mengekalkan kesatuan ASEAN sambil mengekalkan kedudukannya dalam landskap geopolitik global.