fb fb fb fb fb

Malaysia kini berada di episod ke-6 Monsun Timur Laut 2021/2022 - MetMalaysia

(Situasi banjir di Terengganu, orang ramai mula menyelamatkan harta benda ke kawasan selamat)

KUALA LUMPUR, 28 Februari- Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) melaporkan, Malaysia kini berada di episod ke-6 Monsun Timur Laut 2021/2022.

Pada jam 12.15 tengah hari semalam, MET Malaysia telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan Peringkat Buruk (jingga) bagi negeri Perak (Hulu Perak), Kelantan dan Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang), sudah tidak ada lokasi yang berada di bawah Amaran Peringkat Bahaya (merah).

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam sebuah kenyataan memaklumkan, sehingga 1.50 petang, hujan masih berlaku di kawasan pedalaman namun intensiti dilaporkan makin berkurangan.

Walau bagaimanapun, stesen utama MET Malaysia di Hulu Terengganu, Kuala Krai, Gong Kedak, Jeli, dan Kota Bharu masih mencatat hujan lebat.

"Keadaan cuaca di Semenanjung dijangka bertambah baik mulai hari ini, 28 Februari. Hujan dan ribut petir dijangka berlaku di barat Semenanjung, utara Sarawak serta barat dan timur Sabah pada sebelah petang hingga awal malam," petik kenyataan itu.

MET Malaysia juga telah mengeluarkan Amaran Angin Kencang Dan Laut Bergelora (Kategori Pertama dan Kedua) untuk perkapalan di perairan Laut China Selatan berkuat kuasa sehingga 1 Mac ini.

"Hujan dilaporkan telah berkurangan kecuali terdapat kenaikan air di kawasan Pasir Mas manakala air daripada kawasan hulu Sungai Kelantan telah mula turun ke hilir namun tiada stesen yang merekodkan paras bahaya di negeri Kelantan kecuali lembangan Sungai Golok," menurut kenyataan dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).


(Banjir di Kelantan telah menenggelamkan laluan darat dan menyukarkan kerja menyelamat penduduk terjejas)

Dalam perkembangan lain, menurut laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) negeri Terengganu, sehingga jam 2.00 petang semalam sejumlah 98 PPS telah diaktifkan untuk melindungai 4,600 mangsa daripada 1,435 keluarga.

Pihak NADMA akan membuat penghantaran tambahan kit makanan ke PKOB Terengganu bagi melancarkan pengurusan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan agensi penyelamat terpaksa menggunakan bot dan lori untuk menyelamat kerana laluan sudah tidak boleh diakses kenderaan pacuan empat roda.


(Agensi keselamatan APM berusaha memindahkan penduduk terjejas banjir ke PPS berhampiran dengan menggunakan bot di sekitar Terengganu/FB APM)

PKOB negeri Kelantan melaporkan peningkatan mangsa dimana 54 PPS telah diaktifkan.

Hujan lebat juga telah menyebabkan PPS di Rantau Panjang dinaiki air bagaimanapun semua mangsa telah selamat dipindahkan ke PPS lain.

PKOB negeri Pahang melaporkan tidak ada PPS yang diaktifkan setakat ini memandangkan hanya kejadian banjir kilat yang telah berlaku di beberapa lokasi.

Hulu Tembeling sedang berhadapan hujan lebat dan aras air di Jerantut telah melebihi paras waspada tiga pada jam 1.30 tengah hari semalam dan trend dilaporkan menaik.

Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah memberi maklum bahawa bekalan makanan masih mencukupi termasuk stok di depot negeri Terengganu dan Kelantan.

Media Baharu