fb fb fb fb fb

Kesemua penduduk terjejas banjir yang terperangkap di Hulu Terengganu berjaya diselamatkan

(Video yang tular di media sosial, penduduk terjejas di Kampung Lubuk Pait terperangkap dalam banjir)

KEMAMAN, 28 Februari- Kesemua penduduk terjejas banjir yang terperangkap di kawasan Hulu Terengganu, Terengganu telah berjaya dibawa keluar dan diselamatkan oleh pihak berkuasa.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri, Hanafiah Mat berkata mereka termasuk beberapa penduduk yang terperangkap di atas bumbung rumah selepas kediaman mereka dinaiki air pagi semalam.

Selain itu, penduduk terjejas yang melarikan diri ke atas bukit di FELCRA Gunung Menerong, Ajil selepas kediaman dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dinaiki air secara mendadak.

Menurut Hanafiah, kesemua penduduk terbabit berjaya diselamatkan dan dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) meskipun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran ketika operasi menyelamat.

Hanafiah berkata memang ada rungutan daripada penduduk meminta bantuan tersebut dan banjir yang melanda daerah berkenaan kali ini agak luar biasa dan air naik dengan mendadak.

"Kerajaan melalui agensi telah berusaha dan kesemua mereka selamat walaupun ada rungutan yang kami terima, cuma bagi pihak kerajaan negeri saya memohon maaf di atas beberapa kelemahan terutama pada hari kejadian yang agak kelam kabut tetapi dapat kita atasi dengan sebaik mungkin."

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua agensi kerajaan yang bertungkus lumus menyelamatkan mereka," kata Hanafiah ketika ditemui RTM ketika meninjau situasi banjir di beberapa kampung termasuk Kampung Air Putih, Kemaman petang semalam.


(Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri, Hanafiah Mat menjelaskan situasi semasa kepada RTM)

Hanafiah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri berkata pihaknya turut mengarahkan semua jawatankuasa bencana daerah dapat segera melaksanakan operasi menyelamat jika menerima laporan.

Menurut Hanafiah, beliau memohon maaf bagi pihak kerajaan negeri jika terdapat kelemahan namun pihaknya melalui agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berusaha melakukan sebaik mungkin.

Terdahulu, tular di laman sosial mengenai video dan gambar penduduk di Kampung Lubuk Pait, Kuala Berang terperangkap di atas bumbung rumah untuk menyelamatkan diri dan video penduduk yang terpaksa melarikan diri ke atas sebuah bukit ekoran banjir buruk di daerah Hulu Terengganu.

Media Baharu