fb fb fb fb fb

Orang ramai dinasihat tidak cuba melepasi jambatan rosak akibat banjir di Kampung Kuala Dura

HULU TERENGGANU, 28 Februari- Jambatan di Kampung Kuala Dura, Hulu Terengganu rosak ditenggelami banjir.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa mengesahkan mengenai kejadian tersebut.

Menurut beliau, ketika ini bahagian teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri sedang membuat penilaian sebenar berhubung peratusan kerosakan dan kebolehgunaan jambatan tersebut.

"Mengenai isu jambatan Kampung Dura itu, saya menasihati orang ramai terutamanya yang tinggal berhampiran atau sekitar kawasan tersebut jangan sesekali menghampiri dan cuba untuk melepasi laluan tersebut yang telah ditutup ketika ini. Ini kerana keadaan amatlah bahaya," kata Datuk Rohaimi ketika ditemui selepas membuat tinjauan banjir di Kampung Tanjung Putat daerah Hulu Terengganu.

Tegas beliau, orang ramai diminta tidak mendekati lokasi berkenaan sehingga diberitahu.

Difahamkan, tanah di kawasan sekitar tebing juga telah runtuh sekali gus boleh menjadi punca terhadap bencana yang lebih besar.

Terengganu mula banjir bermula Khamis lepas dan disifatkan paling teruk dalam lima episod gelombang monsun Timur Laut sejak 2 Disember lalu.

Media Baharu