fb fb fb fb fb

Malaysia kesal beberapa negara barat tidak beri tumpuan konflik Israel-Hamas

ISTANBUL, 23 Oktober - Malaysia melahirkan rasa kesal dengan tindakan beberapa negara barat yang tidak memberi tumpuan berhubung isu kemanusiaan yang terjadi kepada penduduk Palestin di Gaza.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu itu antara yang dibincangkan ketika mengadakan pertemuan empat mata selama hampir dua jam bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

"Tentunya banyak tertumpu kepada permasalahan dan krisis Gaza yang sangat diprihatinkan kerana pendirian kita adalah menghentikan segala bentuk serangan dan keganasan yang mengorbankan nyawa rakyat yang tidak berdosa termasuk wanita dan anak-anak.

"Kita mengulangi pendirian tentang keperluan menyalurkan bantuan kemanusiaan dan perubatan dan Turkiye tentunya agak kedepan kerana menyediakan pasukan perubatan, kemudahan-kemudahan yang lain untuk cuba meringankan walaupun masih mengalami kesukaran untuk sampai ke kawasan pedalaman Gaza," katanya pada sidang media dalam lawatan kerja di Istanbul, Turkiye.

Jelasnya lagi, tindakan negara barat tersebut menyukarkan pendirian Malaysia untuk memusatkan perhatian terhadap konflik yang berlaku serta menghentikan segala bentuk serangan ke atas rakyat Palestin.

Selain itu, pertemuan dua hala tersebut turut membincangkan isu perdagangan dan soal kerjasama yang dapat memberi manfaat kepada Malaysia dan Turkiye.

Sejurus selesai lawatan di Istanbul, Datuk Seri Anwar terus berangkat ke Mesir untuk mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Arab Mesir, Tuan Yang Terutama Abdel Fattah al-Sisi.

Ia turut bagi membincangkan perkara berkaitan konflik Palestin-Israel selain usaha menghentikan segera pertempuran dan pembukaan koridor kemanusiaan bagi penyaluran bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza melalui pintu sempadan Rafah-Gaza.

Dalam pada itu, Anwar menerusi hantaran Facebooknya, dalam pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Turkiye, Hakan Fidan bersama Pengarah Risikan Kebangsaan Turkiye TYT İbrahim Kalın menyentuh situasi geopolitik semasa yang dekat dengan kedua-dua negara.

"Kami juga turut berbincang usaha meneroka pelbagai ruang bagi merapatkan kerjasama kedua-dua negara terutamanya di lapangan geopolitik, pertahanan dan keselamatan," katanya.

Media Baharu