PUTRAJAYA, 8 November- Malaysia mengecam serangan terbaru Israel ke atas Lubnan dan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata, tindakan rejim Zionis itu sama sekali tidak boleh diterima kerana turut mencederakan enam anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT), semalam.
"Ini tidak boleh diterima, dan apa yang Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah sebut, mengenai perancangan sekiranya perlu diambil apa-apa tindakan, kita rujuk kepada Kementerian Pertahanan nanti.
"Tetapi bagi pihak jemaah menteri dan juga kerajaan Malaysia, kita mengutuk sekeras-kerasnya tindakan serangan yang berterusan terhadap Lubnan dan juga pasukan UNIFIL yang mana di antaranya MALBATT adalah sebahagian daripada pasukan tersebut," katanya.
Beliau menegaskan perkara itu dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini.
Dalam perkembangan lain, pemilihan U Mobile Sdn Bhd. (U Mobile) sebagai penyedia rangkaian 5G kedua negara diputuskan tanpa campur tangan pihak pentadbiran.
Sehubungan itu Fahmi menyatakan, pihaknya tidak berhasrat untuk menyemak semula keputusan berkenaan meskipun dikritik pihak-pihak tertentu.
Sebaliknya, akur dengan keputusan yang dibuat oleh ahli-ahli suruhanjaya; mengambil kira status kelayakan syarikat telekomunikasi itu yang menepati aspek rancangan perniagaan, teknikal dan prestasi termasuk tahap kepuasan pengguna serta keupayaan untuk menyiapkan projek yang diberi sebelum ini.
"Dalam konteks pemilihan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah dilakukan secara bebas oleh pasukan teknikal dalam suruhanjaya dan diputuskan secara sebulat suara oleh ahli-ahli suruhanjaya.
"Jadi tidak ada pihak pentadbiran terlibat dan masuk campur. Saya juga perlu ingatkan ini bukan kontrak dan ini bukan lesen. Instrumennya nanti adalah spektrum 3.6GHz yang dikenali juga sebagai F2 yang boleh diberikan untuk dibangunkan rangkaian 5G kedua.
"Jadi tidak ada dana awam yang terlibat dalam membangunkan rangkaian 5G kedua negara dan dari segi aspek pengurusan, tadbir urus setakat ini semua berjalan dengan tertib. Tidak ada campur tangan," katanya.