Malaysia kecam serangan udara Zionis ke atas kompleks perubatan Gaza

Keadaan Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis, Gaza selepas diserang rejim Zionis/ AFP

KUALA LUMPUR, 13 November – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara terkini rejim Zionis Israel ke atas Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis, Gaza, pada awal pagi pada Khamis yang mengorbankan enam rakyat Palestin, termasuk seorang pakar bedah dan mencederakan lebih 20 yang lain.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia mengutuk serangan udara ke atas Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis.
  • Wisma Putra menyifatkan serangan itu sebagai pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
  • Sasaran berulang kompleks perubatan menggambarkan Rejim Zionis terus tidak mematuhi undang-undang antarabangsa.
  • Malaysia mendesak masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB, ambil tindakan segera dan bawa pelaku ke muka pengadilan.

Wisma Putra dalam kenyataan menegaskan, serangan terhadap antara hospital utama di selatan Gaza itu merupakan pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang memberikan perlindungan khusus kepada hospital, pesakit serta petugas perubatan..

“Sasaran berulang ke atas kompleks perubatan yang sama itu jelas menunjukkan bahawa Rejim Zionis Israel terus menerus tidak mematuhi undang-undang antarabangsa.

“Serangan berkenaan turut menambah lagi siri pelanggaran nyata oleh rejim Zionis terhadap perjanjian gencatan senjata pada 10 Okt 2025, yang sejak itu telah mengorbankan lebih 1,600 rakyat Palestin di Gaza.

“Malaysia mengulangi gesaan mendesak kepada masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu supaya mengambil tindakan segera dan konkrit bagi menghentikan serangan ini, memastikan perlindungan orang awam serta kemudahan kesihatan di Gaza, dan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan,” menurut kenyataan itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.