PUTRAJAYA, 10 Jun- Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan dan serbuan kejam oleh tentera Israel ke atas kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza yang mengorbankan lebih 270 rakyat Palestin yang tidak berdosa, serta mencederakan 600 yang lain.
Wisma Putra menerusi kenyataan hari ini turut menggesa masyarakat antarabangsa untuk menggunakan semua jalan penyelesaian bagi menamatkan konflik, sekali gus mencegah kehilangan lebih banyak nyawa tidak bersalah.
"Adalah tidak wajar membenarkan Israel melakukan pembunuhan sewenang-wenangnya dan menyasarkan tempat perlindungan pelarian.
"Tindakan ini dilakukan semasa rundingan damai antara pihak bertelagah sedang berjalan, (ia) hanya menggambarkan ketidakikhlasan rejim Israel," menurut kenyataan itu.
Tegas Wisma Putra, Israel berterusan melancarkan serangan tanpa rasa bersalah dan menjadi punca kepada pelancaran salah satu operasi yang paling banyak mengorbankan rakyat Palestin.
Ia walaupun seruan dan rayuan berkali-kali oleh rakyat antarabangsa dan agensi kemanusiaan untuk menamatkan pembunuhan berterusan yang tidak berperikemanusiaan.
"Serangan berterusan Israel ke atas orang awam ini menyamai jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai (genosid), memperolokkan undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
"Kepimpinan Israel mesti dibawa ke muka pengadilan di atas pendudukan haramnya di Palestin dan tindakan mengorbankan nyawa manusia," menurutnya.
Pengeboman dan serangan Israel yang berterusan dalam tempoh 247 hari telah membunuh seramai 37,084 rakyat Palestin, kebanyakkan adalah wanita dan kanak-kanak, serta menyebabkan lebih ramai lagi cedera.