KUALA LUMPUR, 9 November- Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan rejim Zionis Israel di Sidon, Selatan Lubnan pada 7 November telah mengorbankan tiga orang awam dan mencederakan enam anggota pengaman Malaysia yang bertugas dalam Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNIFIL) serta tiga orang askar Lubnan.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, serangan haram berterusan Israel mencabul Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa, Konvensyen Geneva dan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701.
"Ia merupakan asas kepada mandat UNIFIL untuk melaksanakan misi dan operasi di rantau tersebut. Peranan penting UNIFIL ini tidak boleh terjejas.
"Malaysia sekali lagi menegaskan bahawa keselamatan pasukan pengaman PBB serta petugas, konvoi dan infrastruktur misi kemanusiaan perlu sentiasa dilindungi dan diutamakan," menurut kenyataan itu.
Ini merupakan satu kewajipan bawah undang-undang antarabangsa yang tidak boleh dikompromi dan harus dipatuhi semua negara tanpa pengecualian.
Pada masa sama Malaysia menyeru Majlis Keselamatan PBB untuk mengambil tindakan segera, tegas, dan bersepadu bagi memastikan keselamatan semua anggota pengaman PBB yang memenuhi mandat Majlis Keselamatan PBB.