PUTRAJAYA, 9 November- Usaha Malaysia membida jawatan Presiden Perhimpunan UN-Habitat menerima maklum balas positif komuniti antarabangsa.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menerusi kenyataan berkata perkembangan itu disambut baik semasa Forum Bandar Sedunia (WUF) ke-12 di Kaherah, Mesir, susulan mesyuarat dua hala dengan beberapa negara termasuk China, Mesir, India dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Beliau berkata dengan populasi yang pelbagai dan tahap pendapatan berbeza-beza, Malaysia bersedia mewakili suara semua komuniti.
"Ketika Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN, kita bercita-cita untuk menjadi model peranan serantau di kawasan ASEAN terutamanya dalam perumahan mampu milik melalui konsep 4P (perkongsian awam, swasta dan rakyat).
“Walaupun kita berjaya menarik pelaburan langsung asing dan memupuk pasaran perumahan yang berkembang, Malaysia tetap komited untuk memenuhi keperluan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana dengan memastikan akses kepada perumahan mampu milik," katanya dalam kenyataan hari ini.
Nga berkata jemputan turut diberikan kepada negara-negara ini untuk menghadiri Persidangan Menteri-Menteri Asia Pasifik Ke-7 mengenai Perumahan dan Pembangunan Bandar (APMCHUD) pada 14 dan 15 April 2025 di George Town, Pulau Pinang.
Akta Pembaharuan Bandar yang diwujudkan akan menjadikan kejayaan pembaharuan bandar George Town sebagai rujukan dalam mengawal kadar pembangunan semula bandar.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan hasrat Malaysia untuk menggalakkan kerjasama dengan komuniti antarabangsa bagi mempercepat pelaksanaan Agenda Perbandaran Baharu (NUA) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Ini termasuk memperkukuh pembangunan bandar pintar melalui pertukaran idea dan perkongsian pengalaman dengan pemimpin global.