fb fb fb fb fb

HRD Corp terus biaya kursus pembangunan keluarga, keibubapaan

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail membacakan teks ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 9 November- Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) akan meneruskan inisiatif pembiayaan kursus yang bertemakan pembangunan keluarga dan keibubapaan kepada pekerja menggunakan caruman levi majikan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif tersebut merupakan sokongan kepada sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2024.

"KPWKM melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) banyak melaksanakan pelbagai program pendidikan keibubapaan dan kekeluargaan di seluruh negara.

"Saya amat menyokong inisiatif ini dan mengharapkan lebih banyak majikan akan menghantar pekerja mereka untuk menghadiri kursus-kursus pembangunan keluarga dan kemahiran keibubapaan. Tawaran ini dibuka sepanjang November tahun ini," katanya.

Teks ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibacakan isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada majlis perasmian Sambutan November Bulan Keluarga Malaysia 2024 bertemakan Kasih Keluarga, Jiwa MADANI.

Dalam pada itu majikan yang melaksanakan hari keluarga dan aktiviti kekeluargaan di tempat kerja juga layak mendapatkan pelepasan cukai.

Selain itu, mesyuarat jemaah menteri turut bersetuju untuk memperluaskan sambutan itu di peringkat semua kementerian dan kerajaan negeri bermula tahun ini.

Sementara itu semua agensi bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) diarahkan menawarkan pakej-pakej istimewa kepada percutian keluarga sepanjang bulan November.

Perkara itu merupakan kerjasama strategik KPWKM dan MOTAC.

"Tidak terkecuali saya juga sarankan syarikat penerbangan turut sama memberi pakej keluarga bagi mana-mana destinasi percutian keluarga.

"Saya percaya usaha ini akan mampu semarakkan lagi masa berkualiti bersama keluarga kepada seluruh rakyat negara ini," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI