fb fb fb fb fb

Malaysia kecam penindasan Israel, desak tindakan tegas ICJ - Azalina

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said (berbaju oren) sedang menyampaikan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ)

THE HAGUE, 29 April- Malaysia mengecam tindakan Israel yang berterusan melanggar undang-undang antarabangsa dan hak asasi kemanusiaan dengan menindas serta menghalang bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata situasi di Gaza dan Tebing Barat semakin memburuk, sejak Malaysia tampil membuat kenyataan di ICJ pada Februari tahun lalu.

"Apa yang dahulu merupakan kemusnahan besar-besaran kini telah berkembang menjadi tindakan pengusiran dan pemusnahan yang diisytiharkan secara terbuka, dilaksanakan dengan kejam dan tragisnya diabaikan.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kita telah menyaksikan bukan sahaja serangan baharu terhadap penduduk Palestin di Gaza dan Tebing Barat, malah kenyataan daripada pegawai kanan Israel yang jelas menunjukkan bahawa niat Israel adalah untuk menafikan hak rakyat Palestin melalui pengusiran dan pemusnahan mereka secara beransur-ansur," kata Azalina.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Tambahnya, kekejaman yang berlaku kini bukan sekadar serangan ketenteraan, malah berbentuk pemusnahan menyeluruh yang disertai kenyataan terbuka pemimpin Israel untuk menafikan hak penentuan nasib sendiri rakyat Palestin.

"Kawalan efektif Israel kini lengkap termasuk ke atas Gaza, seperti yang telah dibuktikan menerusi tindakan Israel memutuskan sepenuhnya bekalan bantuan kemanusiaan dan elektrik ke Gaza.

Dalam masa yang sama, Israel turut tertakluk kepada obligasi negatif iaitu tidak menghalang atau mengganggu operasi perkhidmatan kesihatan dan pendidikan serta operasi organisasi kemanusiaan di OPT," tambah Azalina.

Israel dilapor turut meluluskan undang-undang yang melarang operasi Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) di OPT.

Malaysia berpandangan bahawa penasihat yang bakal diputuskan ICJ kelak sangat penting untuk membantu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan sewajarnya terhadap penjajahan haram Israel di wilayah Palestin.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM