KANGAR, 29 April - Sumbangan RM400,000 disalurkan menerusi Program Permata Kasih (PEKA) Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi membuka akaun Simpanan SSPN Prime kepada 2,000 anak asnaf yang baru lahir di Perlis.
Penerima yang layak akan dikenal pasti dan bakal menerima RM200 dalam bentuk simpanan sebagai dorongan awal untuk masa depan pendidikan mereka.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menzahirkan penghargaan terhadap usaha berterusan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang sentiasa melaksanakan program berimpak tinggi dalam membangunkan golongan asnaf.
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), melaksanakan Program Permata Kasih (PEKA) Simpanan SSPN bermula sejak 1 April lalu.
"MAIPs bukan sahaja berperanan sebagai pentadbir hal ehwal agama Islam, malah turut berfungsi sebagai pemangkin pembangunan komuniti Islam, khususnya dalam membantu golongan asnaf keluar daripada kitaran kemiskinan," titah Baginda ketika menyempurnakan Majlis Peluncuran Program Permata Kasih (PEKA) Simpanan SSPN Bagi Kelahiran Baharu Anak Asnaf Negeri Perlis.
Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail turut menzahirkan tahniah dan syabas atas pelaksanaan insentif kelahiran itu yang membuktikan keprihatinan MAIPs dan PTPTN dalam memastikan anak-anak asnaf mempunyai tabungan pendidikan serta melahirkan generasi celik kewangan.
Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs.