WASHINGTON, 12 Mei - Malaysia menjemput syarikat-syarikat besar (Fortune 500) dari Amerika untuk melabur dan meningkatkan pelaburan dalam negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia terutamanya dalam bidang pendigitalan, pembangunan bakat serta Tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat (ESG).
Hasrat tersebut dinyatakan Perdana Menteri dalam pertemuannya dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-Asean (US-ABC) Ted Osius, di Washington.
US-ABC yang diasaskan pada 1984 mewakili 170 perniagaan Amerika terbesar di Asia Tenggara.
Menerusi perbincangan tersebut, Perdana Menteri menekankan bagaimana Malaysia menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) boleh membantu menarik pelaburan baharu dari Amerika Syarikat.
"Mereka masih menganggap Malaysia sebagai rakan dagangan dan sahabat kepada mereka. Seperti kita tahu hubungan antara Malaysia dan Amerika terjalin begitu lama dan dari segi pelaburan dan perdagangan Amerika masih lagi dalam tangga ke lima dalam negara kita.
"Sebagai contoh dari segi pelaburan walaupun menurun tapi masih lagi di tempat ke empat manakala dari segi hubungan dagangan, Amerika masih di tempat ke dua dan tiga jadi masih lagi penting kepada kita yang pentingnya mereka bersetuju untuk meningkatkan hubungan dua hala dengan lebih baik lagi untuk masa akan datang," katanya.
Tambah Ismail, Malaysia kini memberi fokus kepada pembangunan ekonomi digital dan teknologi hijau terutamanya membabitkan kereta elektrik.
"Saya mencadangkan supaya selain daripada kita sudah mengeluarkan kereta elektrik melalui kerjasama PROTON, GEELY VOLVO saya juga mencadangkan supaya syarikat kereta elektrik daripada Amerika seperti TESLA misalnya membuat pelaburan di Malaysia.
"Jadi ini antara cadangan kita supaya hubungan antara Amerika dan Malaysia dari segi perdagangan dan sebagainya dapat kita tingkatkan lagi," katanya.
Kata Perdana Menteri, Malaysia akan terus menjadi ekonomi terbuka dengan dasar pro-perniagaan dan pragmatik yang menyokong iklim pelaburan.
Malaysia telah mengesahkan Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) bagi menggiatkan semula aktiviti perniagaan domestik dan antarabangsa.
Ismail berkata, beliau akan menggalakkan perniagaan Amerika Syarikat untuk memanfaatkan peluang pelaburan luas yang dibentangkan oleh perjanjian perdagangan mega tersebut.