IPOH, 12 Mei - Lima individu dikenal pasti rentung dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, tengah malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, nahas membabitkan sebuah kereta yang belum dikenal pasti modelnya bersama dua lori treler masing-masing bermuatan besi dan mozek.
Katanya, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar diatur gerakkan ke lokasi dibantu oleh BBP Meru Raya serta jentera tangki air BBP Kamunting dan BBP Ipoh sebaik panggilan diterima jam 12.52 tengah malam tadi.
Menurutnya, insiden menyebabkan kereta dinaiki lima mangsa rentung itu terbakar selain menyebabkan treler bermuatan besi turut terbakar 90 peratus.
"Terdapat lima mangsa di dalam kereta disahkan maut oleh pegawai perubatan hospital. Kerja mengeluarkan mangsa masih dijalankan.
"Pemandu dua treler serta kelindan yang terbabit dalam nahas ini selamat, dengan treler bermuatan mozek hanya mengalami kemalangan kecil akibat pelanggaran dari arah belakang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Identiti kelima-lima mangsa bagaimanapun masih belum dikenal pasti.