fb fb fb fb fb

Malaysia, Iran sepakat main peranan besar dalam dunia Islam

Pertemuan empat mata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Iran Ebrahim Raisi sewaktu menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-8 antara Negara-Negara Liga Arab dan Negara-Negara OIC di Riyadh, Arab Saudi/Foto Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 12 November - Malaysia dan Iran sepakat untuk meningkatkan hubungan dua hala termasuk dalam bidang ekonomi, pendidikan, sains dan teknologi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, kedua-dua negara itu juga bersedia meneroka peluang kerjasama baharu seperti yang dibincangkan dalam pertemuan empat mata bersama Presiden Iran Ebrahim Raisi sewaktu menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-8 antara Negara-Negara Liga Arab dan Negara-Negara OIC di Riyadh, Arab Saudi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia dan Iran sebagai dua buah negara yang berpengaruh perlu memainkan peranan yang besar dalam dunia Islam.

Beliau juga menyatakan bahawa Presiden Iran menyambut baik langkah Malaysia untuk mempertingkatkan hubungan dua hala kedua-dua negara.

"Dalam pertemuan ini, kami turut memanjangkan jemputan untuk mengadakan lawatan rasmi ke negara masing-masing.

"Saya juga mengulangi komitmen untuk mengadakan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) di antara kedua-dua negara bagi memperhalusi pelbagai bidang kerjasama," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Pada tahun 2022, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Iran ialah sebanyak RM3.68 bilion (meningkat sebanyak 40.2% dari tahun 2021) dan kelapa sawit merupakan produk utama perdagangan Malaysia dan Iran.

Dalam pertemuan penuh bermakna itu, kedua-dua pemimpin negara turut mendukung segala usul yang dibawa oleh OIC khususnya dalam melibatkan isu kemanusiaan sejagat.

Apa yang penting adalah termasuk proses gencatan senjata oleh Israel dilakukan serta-merta.

"Kami sebulat suara bersetuju agar kekejaman oleh Israel terhadap Palestin perlu dihentikan segera.

"Kami juga turut menggesa supaya bantuan kemanusiaan yang lebih banyak dibawa masuk ke Palestin bagi membantu mereka yang memerlukan," katanya Anwar.

GRACE AISYAH KEDAYAN